Friday, August 8, 2008

Tidak etika Anwar jadi PM 'pintu belakang'-malaysiakini

Percubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi perdana menteri melalui "pintu belakang" dengan menyeru ahli-ahli parlimen BN melompat parti beramai-ramai adalah perbuatan yang tidak beretika dan tidak demokratik, kata bekas pemimpin PKR Dr Chandra Muzaffar.

"Kabinet yang ditubuhkan menerusi cara itu daripada segi moralnya tidak berkredibiliti. Parlimen sendiri akan tercemar. Badan eksekutif dan penggubal undang-undang akan dianggap oleh rakyat sebagai institusi yang kehilangan integriti," katanya hari ini.
Memperoleh kuasa melalui pintu belakang akan merendahkan
martabat politik, katanya, dan Anwar juga tidak mempunyai mandat
untuk menggulingkan kerajaan sekarang yang dipilih secara demokrasi.

Menurut laporan Bernama, Dr Chandra berkata Anwar terlalu taksub untuk menjadi perdana menteri secepat mungkin sehingga sanggup beliau berusaha keras memujuk sekurang-kurangnya 30 wakil rakyat BN menyertai PKR.
"Saiz dan skala lompat parti yang diusahakannya itu amat sukar hendak dibayangkan.

"Pernahkah misalnya terjadi di dalam dunia ini, di mana sebuah kerajaan yang mempunyai lebih 58 kerusi daripada gabungan pembangkang berterusan diancam dijatuhkan hanya kerana seorang individu - yang malahan tidak berada dalam Parlimen - sentiasa mendabik dada kononnya jumlah tertentu anggota parlimen akan lompat parti pada tarikh tertentu?" Dr Chandra dipetik sebagai berkata.
Beliau menambah, usaha berterusan untuk menggulingkan kerajaan BN melalui perbuatan lompat parti telah mewujudkan keadaan tidak menentu dalam negara sejak beberapa bulan lepas.

"Jika ancaman lompat parti terus mengancam ketenteraman negara, ia adalah disebabkan ramai rakyat tahu bahawa pada satu ketika dahulu Anwar sebagai pemimpin BN dan kerajaan persekutuan telah memainkan peranan penting dalam menjatuhkan kerajaan negeri PBS yang dipilih secara demokrasi di Sabah pada 1994," katanya.

Dr Chandra menegaskan, walaupun Anwar menyatakan yang pujukannya tidak melibatkan wang atau ganjaran lain, daripada segi moralnya masih salah bagi wakil rakyat melompat parti kerana ia merupakan pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat.
Beliau berkata lagi, amat menyedihkan politik seumpama ini dilakukan
oleh ahli politik yang dilihat sebagai berprinsip dan aktivis hak asasi manusia yang komited di sekeliling Anwar.

"Mereka sepatutnya cuba meyakinkan beliau yang ia lebih bermaruah untuk memasuki Putrajaya melalui pintu depan. Ini dengan cara memenangi pilihan raya umum ke-13 di peringkat persekutuan dan membentuk kerajaan menerusi undang-undang, dengan cara beretika," katanya, lapor agensi berita itu lagi.
Dr Chandra menambah, jika Anwar memasuki Parlimen selepas pilihanraya kecil Permatang Pauh antara 16-26 Ogos, beliau sepatutnya cuba merapatkan jurang yang memisahkan parti-parti Pakatan Rakyat dengan merumuskan program dan visi pembaharuan bersepadu, dan melupakan perkara lama yang sudah lapuk dan basi.

"Harapannya ialah beliau juga akan, sebagai ketua pembangkang, membentuk kabinet bayangan yang akan mendesak kerajaan BN untuk memperkenalkan sebanyak mungkin perubahan yang diperlukan.
"Inilah yang rakyat mahu beliau lakukan. Anwar tidak mempunyai mandat untuk menggulingkan kerajaan sekarang yang dipilih secara demokrasi melalui pintu belakang."

2 comments:

Samuel Goh Kim Eng said...

When the final goal or destination is important enough
Any legal entry point, whether front, side or rear, is just as valid
No one should be denied any form of entry that's solid
Unless there are still people who want to play the game of bluff

(C)Samuel Goh Kim Eng - 090808
http://MotivationInMotion.blogspot.com
Sat. 9th Aug. 2008.

chong said...

is he the fellow who said anwar wasn't fit for PM???