Mengulas lanjut mengenainya, beliau berkata: "Saya tidak menerima andaian berkenaan. Kita (PAS) membuat kerjasama dengan Pakatan Rakyat berbeza dengan Umno dalam Barisan Nasional (BN).
"Kita hanya membuat persefahaman pilihanraya yang longgar. Pakatan tidak sama dengan Barisan," katanya sambil berkata beliau telah mengarahkan semua jentera pilihanraya PAS membantu penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh.
Menurut bekas menteri besar Terengganu itu lagi, peranan PAS dalam pakatan adalah baik.
Jawatan PM
"Di Perak kita menang enam kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri), tetapi kita menjadi MB (menteri besar)," katanya.
Abdul Hadi berkata peranan PAS telah diterima dalam Pakatan Rakyat, seperti dalam perlantikan Datuk Bandaraya Ipoh.
"Kita beri pandangan supaya mengekalkan pegawai kerajaan, kerana pengalaman kita di Kelantan dan Terengganu, apabila dilantik orang politik, banyak masalah," tambahnya.
Ditanya apakan PAS boleh menerima timbalan perdana menteri dari DAP, Abdul Hadi berkata: "Keputusan ini adalah perbincangan di peringkat Pakatan Rakyat, bukan di dalam media".
Ditanya mengapa Anwar dipilih menjadi ketua pembangkang di Parlimen, beliau menjawab: "Kerana ketika ini Pakatan Rakyat tidak ada ketua, maka Anwar yang paling layak".
Mengenai kedudukan Anwar sama ada menjadi perdana menteri selepas Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan, Abdul Hadi berkata, ia akan ditentukan dalam perbincangan parti-parti komponen pakatan.
"Kita akan membincangkan siapakah pemimpin yang akan menjadi perdana menteri yang boleh diterima oleh semua rakyat. Oleh itu, kita kena tunggu pada 16 September," tambahnya.
Ditanya sama ada beliau mahu menjadi perdana menteri, Abdul Hadi jawab: "Saya tidak mahu menjadi Mat Jenin. Saya mahu kerajaan yang berjiwa Islam".
Abdul Hadi turut mengulas laporan yang mengatakan pihak Istana tidak perkenan beliau dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat membaca khutbah.
"Saya dan Datuk Nik Aziz dijemput untuk membaca khutbah. Oleh kerana gangguan pihak-pihak tertentu, saya buat keputusan kepada Tuanku Sultan Perak, menarik diri daripada membaca khutbah," katanya sambil menambah 12 pemimpin PAS bersamanya dalam pertemuan dengan baginda Sultan.
No comments:
Post a Comment