Saturday, February 14, 2009

ISA DIBEBASKAN-MALAYSIAKINI

Kerajaan telah membebaskan tiga orang yang didakwa menjadi anggota Jemaah Islamiah (JI) selepas mereka ditahan selama lebih lima tahun tanpa bicara, demikian menurut Suaram.

"Kerajaan telah membebaskan mereka dari tahanan," kata penyelaras Suaram Nalini Elunalai.

Pegawai Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan mengenainya.

Nalini berkata, ahli perniagaan, Suhaimi Mokhtar dan Mohammad Khider - yang ditahan di bawah ISA, dibebaskan dari Kamunting pada hari Jumaat.

"Kami mahu kerajaan menjelaskan mengapa mereka ditahan lebih dari lima tahun dan mengemukakan apa juga bukti yang ada untuk menahan mereka tanpa bicara," katanya.

"Rakyat Malaysia juga mahu tahu mengapa ketiga-tiga mereka - jika dianggap merbahaya - dibebaskan sekarang dan mengapa mereka kini tidak lagi mengancam negara.

"Ikuti jejak Amerika, tutup Kamunting," katanya.

Elunalai berkata, Suaram dan beberapa badan hak asasi manusia akan menganjurkan Mac ini satu kempen menentang ISA serta mendesak supaya Kem Tahanan Kamunting ditutup.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj hari ini melahirkan perasaan amat kecewa dengan apa yang baginda sifatkan sebagai gelagat biadab terhadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah berhubung pelantikan kerajaan baru negeri Perak baru-baru ini.

sultan selangor and selangor state exco"Perkembangan politik, peristiwa demonstrasi jalanan serta pertelingkahan antara pelbagai pihak, bersabit dengan pelantikan baru kerajaan negeri Perak baru-baru ini, yang sehingga membawa kepada gelagat biadab terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, amat mendukacitakan dan mengecewakan Beta" titah baginda dalam satu kenyataan akhbar khas yang dikeluarkan dari Istana Alam Shah di Klang.

Dalam kenyataan tiga muka surat itu, Sultan Selangor menasihatkan pihak yang mencabar hak, peranan serta kedudukan Raja-Raja yang dijamin melalui Perlembagaan Persekutuan supaya menggunakan pertimbangan akal yang waras sebelum mengambil sebarang tindakan, lapor Bernama.

"Beta ingin menasihati dengan penuh keikhlasan dengan mengambil kira kepentingan masa depan agama, bangsa dan negara tercinta kita, janganlah kita mudah terpedaya dengan gelagat serta tindakan yang hanya akan mencemarkan martabat kita, mengundang risiko yang tinggi terhadap kemajuan kita, serta menghakis asas-asas kedaulatan negara ini dengan sifat-sifat keji serta biadab, derhaka, angkuh, jahil ilmu dan kemaruk kuasa," titah baginda.

Sultan Sharafuddin bertitah bahawa rasa kecewa dan dukacita dirasai baginda lebih-lebih lagi kerana Sultan Azlan adalah ayahanda saudara baginda dan keluarga Diraja kedua-dua negeri mempunyai sejarah pertalian yang erat sehingga hari ini.

Menurut baginda, Sultan Azlan Shah dikenali sebagai seorang tokoh yang tinggi ilmu serta berpengalaman dalam perkhidmatan perundangan dan kehakiman sesuai dengan kedudukan Sultan Perak itu sebagai bekas Ketua Hakim Negara.

malaysian law conference 291007 sultan azlan shah 1Sultan Azlan Shah serta keluarga baginda juga mempunyai latar belakang serta kelayakan keilmuan yang cemerlang dan sangat peka pada kepentingan rakyat sehingga kebanyakan tindakan baginda akan bersandarkan kepada budaya ilmu, pertimbangan syumul serta amalan bermusyawarah bersama pakar-pakar dalam mana-mana satu isu yang bersabit, titah Sultan Sharafuddin.

'Bakar kelambu'

Menurut baginda, apa yang berlaku di Perak sejak seminggu lepas, amat membimbangkan sesiapapun "yang mengaku mencintai agama, bangsa, negara Malaysia, kestabilan, kesejahteraan, kemajuan, keselamatan dan masa depan kita bersama".

"Bak kata pepatah, ketika peristiwa sebegini berlaku, barulah kita kenal siapa kaca, siapa permata. Malah dapat juga kita menyelami jati diri pihak-pihak tertentu yang marahkan nyamuk, kelambu yang dibakar," titah baginda.

Sultan Azlan Shah melantik Datuk Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar yang baru 6 Februari lepas apabila kerajaan campuran DAP, Parti Keadilan Rakyat dan PAS kehilangan majoriti di Dewan Undangan Negeri Perak dan ini menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin dan penyokong pakatan tersebut.

Pada hari Zambry mengangkat sumpah memegang jawatan pada Jumaat lepas, penyokong parti berkenaan mengadakan demonstrasi jalanan berhampiran Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar sehingga menghalang kenderaan Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah.

nizar jamaludin perakMenteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dilaporkan telah "mohon derhaka" kepada Sultan Perak apabila permohonannya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri tidak diperkenan Sultan Azlan Shah manakala Pengerusi DAP Karpal Singh telah menimbulkan kemarahan banyak pihak kerana mahu menyaman Sultan Azlan Shah.

Sultan Selangor bertitah bahawa kegawatan ekonomi yang semakin meruncing di peringkat global dan serantau menuntut rakyat memantapkan perpaduan walaupun berbeza pendirian.

"Jangan sehingga nasi menjadi bubur, di mana terlajak kata boleh dimaafkan, tetapi terlajak perbuatan mungkin akan mengundang bencana," titah baginda.

"Beta terus mendoakan agar Allah SWT akan terus memelihara kita bersama dan menganugerahkan kita dengan hati yang terang, jiwa yang tenang, fikiran yang tajam, perjalanan yang mudah, tindakan yang betul, perhubungan yang harmonis serta waja diri yang unggul untuk mengemudikan negara kita secara bersama dalam mengharungi proses kemajian seterusnya," titah Sultan Selangor.

Thursday, October 9, 2008

Sengsara isteri mangsa ISA mencari sesuap rezeki untuk anak-anak

SANDAKAN, (Hrkh) - Menyara ibu bapa yang sudah berusia, dengan dua orang anak yang masih kecil, Hapipah Majid, terpaksa memikul tanggungjawab tersebut bersendirian setelah suaminya, Abu Bakar @ Zainon Rashid, ditahan ISA.

Sejak enam tahun lalu, Hapipah bertungkus-lumus menyara kehidupan mereka sekeluarga dengan pelbagai pekerjaan demi masa depan anak-anak. Apatah lagi, tugasnya sebagai seorang pendidik terpaksa dilupakannya kerana beliau adalah isteri tahanan ISA.

ImageSekolah swasta tempat beliau mengajar sebelum ini, bertindak memberhentikan beliau sejurus suaminya ditahan akta maha zalim itu.

Bermula saat hitam itu, Hapipah membulatkan tekad mengintai segala peluang bagi meneruskan kehidupan mereka anak-beranak.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tinosa Dua, Sandakan, Hapipah kelihatan tenang melayani pertanyaan Harakah berhubung kehidupannya setelah dipisahkan dari suami tercinta.

Mengimbau kembali detik enam tahun lalu, Hapipah ternyata memiliki kekuatan yang amat tinggi apabila berhadapan detik itu, yang saat itu beliau sedang hamil sembilan bulan.

Namun, hari demi hari beliau kembali bangkit meneruskan kehidupan demi masa depan anak-anak dan keluarganya. Kini, berbekalkan semangat jitu beliau mengambil peluang menjual ubat-ubatan bagi kelangsungan hidupnya.

ImageSempena Syawal yang bakal menjelma, Harakah mengambil peluang menyampaikan sumbangan pembaca Harakah menerusi tabung ISA yang ditubuhkan sejak April lalu kepada Hapipah.

Sumbangan tersebut disampaikan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman ketika mengunjunginya di rumah beliau, 23 Sept lalu. - mr_

Wednesday, October 8, 2008

Laporan Sinar Harian Amat Dikesali

Sinar Harian telah secara salah melaporkan kenyataan saya yang dibuat pada 7hb Oktober di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Laporan Sinar Harian tersebut menyatakan bahawa saya percaya Datuk Seri Najib Tun Razak mampu mendapat sokongan yang lebih dalam menguruskan ekonomi dan membersihkan negara ini daripada amalan rasuah.

Ini adalah tidak benar. Laporan tersebut jelas memutar belitkan kenyataan saya yang dibuat pada 7hb Oktober berkenaan proses peralihan kuasa dalam Umno.

Sebaliknya saya yakin sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, negara ini akan terjerumus ke dalam bencana yang besar.

Datuk Seri Najib Tun Razak secara jelas menyatakan beliau sebagai Menteri Kewangan akan meneruskan agenda ekonomi pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Kenyataan beliau bahawa Malaysia tidak akan terkesan dengan perkembangan krisis ekonomi dunia sangat membimbangkan dan mempamerkan kegagalan beliau untuk menangani cabaran yang akan dihadapi oleh negara kita pada masa hadapan.

Beliau juga tidak menunjukkan komitmen untuk memastikan Agenda Perubahan berlaku demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap Badan Kehakiman dan bertindak memerangi rasuah. Sedangkan pada Pilihanraya Umum 8 Mac 2008 dan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh tempoh hari, rakyat menyuarakan hasrat mereka agar Agenda Perubahan menjadi keutamaan dan direalisasikan dengan segera.

Rakyat Malaysia bimbang di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, undang-undang kuku besi seperti penggunaan ISA akan diteruskan dan sendi-sendi demokratik akan dilumpuhkan.

Selain itu beberapa persoalan yang belum terjawab seperti tuduhan penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam komisen yang diperolehi hasil pembelian peralatan tentera dari Perancis dan Russia serta pembunuhan wanita Mongolia; Altantuya Shaariibuu, menggugat serta melemahkan kedudukannya di dalam kerajaan.

Pemimpin sebegini akan mencemarkan reputasi Malaysia di kacamata masyarakat antarabangsa dan sekaligus akan memberikan kesan negatif dalam membentuk tanggapan pelabur-pelabur asing terhadap Malaysia.

Saya mohon agar Sinar Harian segera menyiarkan pembetulan dan lebih bertanggungjawab untuk melaporkan sebarang berita dengan benar dan tepat pada masa hadapan.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum KeADILan