Thursday, October 9, 2008

Sengsara isteri mangsa ISA mencari sesuap rezeki untuk anak-anak

SANDAKAN, (Hrkh) - Menyara ibu bapa yang sudah berusia, dengan dua orang anak yang masih kecil, Hapipah Majid, terpaksa memikul tanggungjawab tersebut bersendirian setelah suaminya, Abu Bakar @ Zainon Rashid, ditahan ISA.

Sejak enam tahun lalu, Hapipah bertungkus-lumus menyara kehidupan mereka sekeluarga dengan pelbagai pekerjaan demi masa depan anak-anak. Apatah lagi, tugasnya sebagai seorang pendidik terpaksa dilupakannya kerana beliau adalah isteri tahanan ISA.

ImageSekolah swasta tempat beliau mengajar sebelum ini, bertindak memberhentikan beliau sejurus suaminya ditahan akta maha zalim itu.

Bermula saat hitam itu, Hapipah membulatkan tekad mengintai segala peluang bagi meneruskan kehidupan mereka anak-beranak.

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tinosa Dua, Sandakan, Hapipah kelihatan tenang melayani pertanyaan Harakah berhubung kehidupannya setelah dipisahkan dari suami tercinta.

Mengimbau kembali detik enam tahun lalu, Hapipah ternyata memiliki kekuatan yang amat tinggi apabila berhadapan detik itu, yang saat itu beliau sedang hamil sembilan bulan.

Namun, hari demi hari beliau kembali bangkit meneruskan kehidupan demi masa depan anak-anak dan keluarganya. Kini, berbekalkan semangat jitu beliau mengambil peluang menjual ubat-ubatan bagi kelangsungan hidupnya.

ImageSempena Syawal yang bakal menjelma, Harakah mengambil peluang menyampaikan sumbangan pembaca Harakah menerusi tabung ISA yang ditubuhkan sejak April lalu kepada Hapipah.

Sumbangan tersebut disampaikan Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman ketika mengunjunginya di rumah beliau, 23 Sept lalu. - mr_

Wednesday, October 8, 2008

Laporan Sinar Harian Amat Dikesali

Sinar Harian telah secara salah melaporkan kenyataan saya yang dibuat pada 7hb Oktober di perkarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta. Laporan Sinar Harian tersebut menyatakan bahawa saya percaya Datuk Seri Najib Tun Razak mampu mendapat sokongan yang lebih dalam menguruskan ekonomi dan membersihkan negara ini daripada amalan rasuah.

Ini adalah tidak benar. Laporan tersebut jelas memutar belitkan kenyataan saya yang dibuat pada 7hb Oktober berkenaan proses peralihan kuasa dalam Umno.

Sebaliknya saya yakin sekiranya Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri, negara ini akan terjerumus ke dalam bencana yang besar.

Datuk Seri Najib Tun Razak secara jelas menyatakan beliau sebagai Menteri Kewangan akan meneruskan agenda ekonomi pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi. Kenyataan beliau bahawa Malaysia tidak akan terkesan dengan perkembangan krisis ekonomi dunia sangat membimbangkan dan mempamerkan kegagalan beliau untuk menangani cabaran yang akan dihadapi oleh negara kita pada masa hadapan.

Beliau juga tidak menunjukkan komitmen untuk memastikan Agenda Perubahan berlaku demi memulihkan keyakinan rakyat terhadap Badan Kehakiman dan bertindak memerangi rasuah. Sedangkan pada Pilihanraya Umum 8 Mac 2008 dan Pilihanraya Kecil Permatang Pauh tempoh hari, rakyat menyuarakan hasrat mereka agar Agenda Perubahan menjadi keutamaan dan direalisasikan dengan segera.

Rakyat Malaysia bimbang di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak, undang-undang kuku besi seperti penggunaan ISA akan diteruskan dan sendi-sendi demokratik akan dilumpuhkan.

Selain itu beberapa persoalan yang belum terjawab seperti tuduhan penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak di dalam komisen yang diperolehi hasil pembelian peralatan tentera dari Perancis dan Russia serta pembunuhan wanita Mongolia; Altantuya Shaariibuu, menggugat serta melemahkan kedudukannya di dalam kerajaan.

Pemimpin sebegini akan mencemarkan reputasi Malaysia di kacamata masyarakat antarabangsa dan sekaligus akan memberikan kesan negatif dalam membentuk tanggapan pelabur-pelabur asing terhadap Malaysia.

Saya mohon agar Sinar Harian segera menyiarkan pembetulan dan lebih bertanggungjawab untuk melaporkan sebarang berita dengan benar dan tepat pada masa hadapan.

ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Ketua Umum KeADILan